11 Mei 2014 - Sekitar jam 11.20 malam, aku menerima panggilan dari abang mengatakan nenek di hospital. Disyaki dijangkiti kuman dan peluang pembedahan 50-50.
12 Mei 2014 - Berkira-kira sama ada mahu pergi kerja atau ikut Mak balik KL. Sudahnya aku ambil keputusan ambil emergency leave. 8 pagi bergerak ke KL bersama Mak, kakak dan anak-anak saudara.
Sampai di Sentul sekitar jam 11.20 pagi. Makcik beritahu pihak hospital telefon mengatakan nenek sudah kritikal dan minta ke hospital secepat mungkin. Bergegas kami ke sana. Tinggalkan anak-anak saudara di kondo. Masalah utama di hospital ialah parking.
Tingkat 2. Wad 6. Di kanan, alat bantuan pernafasan. Di kiri, mesin mengesan tekanan darah. Makcik pegang tangan dan panggil nenek tapi tiada jawapan. Dan makcik menangis. Dada aku makin sempit. Sebak. Aku mula rapat dengan nenek. Mengusap tapak tangan nenek yang agak sejuk. Dengan harapan nenek buka mata melihat anak-anak dan cucu-cucunya datang melawat. Tapi, tetap begitu.
Hampir habis waktu melawat, doktor ingin mengambil darah. Mak, kakak, makcik dan aku menunggu di pintu masuk wad. Seorang doktor perempuan, masih muda, mendekati kami dan memberitahu keadaan nenek kritikal di mana denyutan nadinya sangat lemah dan tekanan darah rendah.
"Kami sudah melakukan cpr tetapi kami hanya mampu berusaha." Mak membalas, "Takpe. Nak buat macam mana. Selebihnya kita berserah." Tenang suara Mak. Tapi, hatinya hanya Dia yang tahu. Dari situ baru kami tahu nenek sudah tidak sedarkan diri. Koma.
Mak dan aku ke bilik air, menemani Mak mengambil wuduk untuk bacakan Yasin untuk nenek. Usai Mak mengambil wuduk, aku lihat kakak dan makcik menangis. Mak cakap nak bacakan Yasin untuk nenek. Tapi makcik kata nenek dah takde. Lemah kaki aku. Lemah kaki Mak. Air mata kami tidak dapat diselindungkan lagi. Dan Mak, meraung seketika di situ sambil di tangannya memegang Yasin. Allahu. Sebak hati ini.
Menunggu doktor keluarkan surat kematian, berzaman. Biasalah, gomen. Disebalik langsir yang menutupi katil nenek, aku lihat nurse mengeluarkan tiub dan segala macam benda tajam yang dicucuk pada tubuh nenek. Dan aku lihat nurse-nurse muda itu mengkafankan nenek sebelum dibawa ke bangunan forensik. Disebelahnya bilik untuk mandikan jenazah. Dan kami dibenarkan untuk melihat nenek seketika.
Apa yang paling sebak, saat diberitahu nenek dah tiada, hujan mula turun. Seakan menangisi pemergian makhluk bumi bergelar manusia. Allahu.
Insan pertama aku beritahu ialah Imah. Sebab hanya dia tahu aku berada di KL sebab aku teringin nak jumpa dia dan adik walaupun sekejap. Saat berbicara, aku tahan sebak di dada. Sempit. "Akak kan kuat." Itu la ayat Imah yang aku ingat sampai saat ini. Waktu tu aku sedang berperang menahan air mata. Tidak mahu dia dengar tangis dan esakan aku. Terima kasih Imah. Saya kan kuat.
Selesai hal di wad, kami bergerak ke bilik mandikan jenazah. Aku pernah terdetik mahu belajar cara memandikan jenazah. Tetapi, masih tiada kesempatan. Di saat makcik yang bertugas memandikan jenazah memanggil waris, aku masuk dengan kakak. Lutut aku menggeletar. Itu, pertama kali aku masuk ke bilik berbau kapur barus dan cendana. Kuat baunya. Bilik aircond pulak tu. Dan, pertama kali aku memandikan jenazah, membantu makcik tadi. Aku pun lupa hendak bertanyakan namanya. Dari saat mandi hinggalah saat mengkafankan. Nenek bertuah kerana dimandikan oleh anak, menantu dan 3 orang cucu nenek.
Urusan selesai. Biarlah apa yang terjadi di bilik mandikan jenazah itu aku simpan sendiri. Kerana setiap detik, setiap saat di dalam bilik tu, membuatkan aku menangis. Memandang wajah mereka semua, pilu.
Aku pulang ke kondo bersama kakak. Mak dan makcik menaiki van jenazah untuk bawa nenek pulang ke rumah lamanya di Datuk Keramat. Awalnya dikatakan hari itu tak sempat untuk kebumikan nenek kerana hujan lebat. Atas pertolongan cucu-cucu nenek menimba air keluar dari liang lahad, sebelum Maghrib sudah selesai pengebumian nenek. Aku dan kakak sesat. Maklumlah, bukan orang KL. Salahkan waze sebab kami sesat. Sampai di rumah, semua sudah selesai. Walaupun sedikit terkilan tak dapat lihat nenek kali terakhir, tapi aku puas sebab dapat mandikan dan kafankan nenek.
Abang sulung antara cucu nenek yang terjun dalam liang yang dipenuhi air. Sepupu yang lain juga sama menolong. Nenek, Allah mudahkan urusan nenek di dunia kerana nenek dikurniakan cucu-cucu yang sangat rajin dan sayangkan nenek.
Nenek pergi dengan mudah. Tiada penyakit langsung. Hanya kerana tulang yang dah lama patah akibat jatuh dahulu, tulang menjadi reput. Meninggalkan kesan pada daging yang dianggap luka melecet. Rupanya luka itu semakin merebak dan menyebabkan jangkitan kuman. Siapalah nak tahu keadaan akan jadi begini. Nenek sendiri menahan sakit. Tidak beritahu sesiapa. Jiran nenek bercerita kepada kami bahawa nenek pernah bersembang dengannya. Dalam apa jua keadaan sekalipun, nenek tak mahu susahkan sesiapa. Kami pasrah. Kami redha. Setiap yang hidup pasti akan mati.
"In sha Allah raya nanti kami balik la Mak." Ucap Mak masa pulang ke KL cuti sekolah yang lalu. "Baliklah. Raya nanti Mak dah takde." Kata nenek sambil menangis.
Nenek, Baby bawa Mak pulang bersama. Baby kotakan janji. Tenanglah nenek disana. Doa kami mengiringimu. Sayang nenek. :')
Selamat Hari Ibu, Nenek.