Thursday, June 12, 2014

Dia Dan Rasa

Rasa yang ditanam sedalamnya. Panas baran. Sensitif. Kuat terasa. Cengeng. Emosional. Ego tinggi.

Akibat desakan tekanan di tempat kerja dan desakan tekanan manusia sekeliling, dicari gali semula semua rasa itu. Dan dimuntah luahkan semuanya. Pernah kau tanya pada dia bagaimana dia menyimpan segala rasa itu dan hidup ceria dan bahagia? Pernah kau tanya begitu hebat dia bersabar dalam segala hal yang berlaku?

Mohon, jangan jadikan dia seperti 'dia' yang dulu. Cukup kecewa yang dia lalui. Dia sangat bahagia dengan kamu semua. Takkan pernah hadir dia yang sekarang tanpa kamu semua. Mohon, mohon lenyapkan 'dia' yang dulu selamanya. Kerana dia tahu jika muncul yang dulu, dia akan kehilangan kamu semua. Kesayangan dia.

Maaf atas segala keterlanjuran kata. Maaf atas segala kasar bahasa. Maaf jika ayat yang dianggap menghina. Maaf atas baran yang tak disangka. Dan dia tahu maaf takkan menyembuh luka di hati. Namun, tetap dia mohon ampun dan maaf. Kerana dia khuatir ini maaf yang terakhir dari dia.

Maaf, kesayangan.

Wednesday, May 14, 2014

Tenanglah Disana, Nenda.

11 Mei 2014 - Sekitar jam 11.20 malam, aku menerima panggilan dari abang mengatakan nenek di hospital. Disyaki dijangkiti kuman dan peluang pembedahan 50-50.

12 Mei 2014 - Berkira-kira sama ada mahu pergi kerja atau ikut Mak balik KL. Sudahnya aku ambil keputusan ambil emergency leave. 8 pagi bergerak ke KL bersama Mak, kakak dan anak-anak saudara. 

Sampai di Sentul sekitar jam 11.20 pagi. Makcik beritahu pihak hospital telefon mengatakan nenek sudah kritikal dan minta ke hospital secepat mungkin. Bergegas kami ke sana. Tinggalkan anak-anak saudara di kondo. Masalah utama di hospital ialah parking.

Tingkat 2. Wad 6. Di kanan, alat bantuan pernafasan. Di kiri, mesin mengesan tekanan darah. Makcik pegang tangan dan panggil nenek tapi tiada jawapan. Dan makcik menangis. Dada aku makin sempit. Sebak. Aku mula rapat dengan nenek. Mengusap tapak tangan nenek yang agak sejuk. Dengan harapan nenek buka mata melihat anak-anak dan cucu-cucunya datang melawat. Tapi, tetap begitu.

Hampir habis waktu melawat, doktor ingin mengambil darah. Mak, kakak, makcik dan aku menunggu di pintu masuk wad. Seorang doktor perempuan, masih muda, mendekati kami dan memberitahu keadaan nenek kritikal di mana denyutan nadinya sangat lemah dan tekanan darah rendah.

"Kami sudah melakukan cpr tetapi kami hanya mampu berusaha." Mak membalas, "Takpe. Nak buat macam mana. Selebihnya kita berserah." Tenang suara Mak. Tapi, hatinya hanya Dia yang tahu. Dari situ baru kami tahu nenek sudah tidak sedarkan diri. Koma.

Mak dan aku ke bilik air, menemani Mak mengambil wuduk untuk bacakan Yasin untuk nenek. Usai Mak mengambil wuduk, aku lihat kakak dan makcik menangis. Mak cakap nak bacakan Yasin untuk nenek. Tapi makcik kata nenek dah takde. Lemah kaki aku. Lemah kaki Mak. Air mata kami tidak dapat diselindungkan lagi. Dan Mak, meraung seketika di situ sambil di tangannya memegang Yasin. Allahu. Sebak hati ini.

Menunggu doktor keluarkan surat kematian, berzaman. Biasalah, gomen. Disebalik langsir yang menutupi katil nenek, aku lihat nurse mengeluarkan tiub dan segala macam benda tajam yang dicucuk pada tubuh nenek. Dan aku lihat nurse-nurse muda itu mengkafankan nenek sebelum dibawa ke bangunan forensik. Disebelahnya bilik untuk mandikan jenazah. Dan kami dibenarkan untuk melihat nenek seketika.

Apa yang paling sebak, saat diberitahu nenek dah tiada, hujan mula turun. Seakan menangisi pemergian makhluk bumi bergelar manusia. Allahu.

Insan pertama aku beritahu ialah Imah. Sebab hanya dia tahu aku berada di KL sebab aku teringin nak jumpa dia dan adik walaupun sekejap. Saat berbicara, aku tahan sebak di dada. Sempit. "Akak kan kuat." Itu la ayat Imah yang aku ingat sampai saat ini. Waktu tu aku sedang berperang menahan air mata. Tidak mahu dia dengar tangis dan esakan aku. Terima kasih Imah. Saya kan kuat.

Selesai hal di wad, kami bergerak ke bilik mandikan jenazah. Aku pernah terdetik mahu belajar cara memandikan jenazah. Tetapi, masih tiada kesempatan. Di saat makcik yang bertugas memandikan jenazah memanggil waris, aku masuk dengan kakak. Lutut aku menggeletar. Itu, pertama kali aku masuk ke bilik berbau kapur barus dan cendana. Kuat baunya. Bilik aircond pulak tu. Dan, pertama kali aku memandikan jenazah, membantu makcik tadi. Aku pun lupa hendak bertanyakan namanya. Dari saat mandi hinggalah saat mengkafankan. Nenek bertuah kerana dimandikan oleh anak, menantu dan 3 orang cucu nenek.

Urusan selesai. Biarlah apa yang terjadi di bilik mandikan jenazah itu aku simpan sendiri. Kerana setiap detik, setiap saat di dalam bilik tu, membuatkan aku menangis. Memandang wajah mereka semua, pilu.

Aku pulang ke kondo bersama kakak. Mak dan makcik menaiki van jenazah untuk bawa nenek pulang ke rumah lamanya di Datuk Keramat. Awalnya dikatakan hari itu tak sempat untuk kebumikan nenek kerana hujan lebat. Atas pertolongan cucu-cucu nenek menimba air keluar dari liang lahad, sebelum Maghrib sudah selesai pengebumian nenek. Aku dan kakak sesat. Maklumlah, bukan orang KL. Salahkan waze sebab kami sesat. Sampai di rumah, semua sudah selesai. Walaupun sedikit terkilan tak dapat lihat nenek kali terakhir, tapi aku puas sebab dapat mandikan dan kafankan nenek.

Abang sulung antara cucu nenek yang terjun dalam liang yang dipenuhi air. Sepupu yang lain juga sama menolong. Nenek, Allah mudahkan urusan nenek di dunia kerana nenek dikurniakan cucu-cucu yang sangat rajin dan sayangkan nenek.

Nenek pergi dengan mudah. Tiada penyakit langsung. Hanya kerana tulang yang dah lama patah akibat jatuh dahulu, tulang menjadi reput. Meninggalkan kesan pada daging yang dianggap luka melecet. Rupanya luka itu semakin merebak dan menyebabkan jangkitan kuman. Siapalah nak tahu keadaan akan jadi begini. Nenek sendiri menahan sakit. Tidak beritahu sesiapa. Jiran nenek bercerita kepada kami bahawa nenek pernah bersembang dengannya. Dalam apa jua keadaan sekalipun, nenek tak mahu susahkan sesiapa. Kami pasrah. Kami redha. Setiap yang hidup pasti akan mati.

"In sha Allah raya nanti kami balik la Mak." Ucap Mak masa pulang ke KL cuti sekolah yang lalu. "Baliklah. Raya nanti Mak dah takde." Kata nenek sambil menangis.

Nenek, Baby bawa Mak pulang bersama. Baby kotakan janji. Tenanglah nenek disana. Doa kami mengiringimu. Sayang nenek. :')

Selamat Hari Ibu, Nenek.

Friday, November 1, 2013

Di Hukum Ngeri

Tragedi OkTHORber sudah berakhir. Bulan itu jugalah meninggalkan parut di perut. Sudah 2 tahun. Sebaya dengan Si Merah sayang. Dugaan yang hebat melanda. Membuat aku terdiam membisu. Lidah membeku. Kaku membatu.

Rapatkan kaki ke badan. Bersandar di belakang pintu. Menangis. Lihatlah betapa hebat kuasa Tuhan. Menghukum aku di dunia sementara. Dan aku redha. Sekurangnya aku masih diberi peluang untuk sujud di hadapanNya.

Alhamdulillah. Rezeki di awal November. Kali ini, pasti. In sha Allah.

Di saat nyawa hampir direntap kencang, terbayang wajah Bonda dan Ayahanda. Pilu. Rindu. Tidak mungkin aku layangkan nyawaku jauh ke alam lain. Mujurlah Dia masih memberi aku peluang. Mujur. Alhamdulillah. Wahai sang jejaka, intai-jenguklah aku di sini. Aku rindukan suara lelakimu. Aku rindukan sifat ambil beratmu. Aku rindukan kamu. Moga angin sampaikan salam rinduku padamu.

Ulang baca memori lama di kotak masuk burung biru, kotak masuk Gmail dan kita chat. Rindu.

Saturday, October 26, 2013

Selamat Mendakap Awan, Sang Naga!

dia sudah pulang dan kembali menjadi buih-buih lautan,
naga aku itu sudah bersatu bersama tentera-tentera pasir,
pada sekejap dulu dia menjadi cinta merahku yang tersimpan,
kini berpatah ke dasar air terus terbang ke langit petir.

dia tak akan mahu berbalik ke dakapanku yang kecil,
dengan bisa bahasa bibir yang menghalaunya pergi,
telah ku herdiknya menjauh dengan ketap gigi menggigil,
ku agungkan dunia dan ku pekikkan inginku menyepi.

nagaku terbang tanpa sedikit pun menoleh simpati,
pada aku yang berpura ketawa saat kamu pergi perlahan,
semoga kamu terus bernyanyi berpimpin mentari,
lagu rahsia kita yang sentiasa kita siulkan sendirian.

maaf naga, tidak mungkin kita disatukan di mata sedar,
maaf nyaringku menghalilintar pujukan rayu dulu,
bibirku yang kaku memberi senyum tika kau beredar,
aku bukan milik kamu di sini, cuma di pejaman matamu

berpalinglah sayang, wahai naga sakti jemala hati patik,
tunjukkan mata kamu yang indah dan sentiasa ku cumbu,
jelingan itu terlalu bisa dari alis kamu yang begitu cantik,
mahu aku tatap terakhiran kalinya, janji ku takkan rayu.

kerana aku mau tau bahawa cinta merah kita masih ada di jiwa ini,
kerana mungkin rasa itu tebal dan agung, cuma didiamkan.
di hati ini.

selamat mendakap alam, naga aku.

(Puisi Tepi Jalan - Fynn Jamal)

Buat sang jejaka, berjuta kali ku ungkap-luah rasa ini, tetap kau berpaling pergi. Mungkin aku yang terlambat. Mungkin saja hatimu berubah. Mungkin kita tidak bersama. Mungkin saja. Mungkin.

Tidak besar permintaanku. Cuma ingin kau pinjam mata, telinga, hati. Mendengar luahan rasa sepertimana aku pinjamkan semua itu dulu untuk kau. Biar apa keputusan kau, aku tidak peduli. Hanya ingin kau tau rasa ini. Rasa yang ditahan. Aku tau kau sakit kerana aku. Dan kini aku melaluinya. Izinkan aku merasa sakit kau. Izinkan aku ubat derita kau. Izinkan aku sayang kau. Izinkanlah... Biarpun hanya dalam mimpi kau saja.

Thursday, October 17, 2013

Rabak

Selama 6 tahun lebih di kota ini. Aku memburu ilmu. Seorang diri. Dari mula jejak kaki hinggalah mampu berdiri tegak kini. Segalanya aku lalui. Seorang gadis kampung dipinggir kawan-kawan hanya kerana kawan-kawan yang lain. Dicari susah. Ditinggal senang. Berkongsi sayang dua jiwa. Akhirnya kecundang ditinggal lari sang jejaka. Sungguh palat. Bila mana aku janjikan masa depan aku. Ingin sehidup tak semati. Ingin berkongsi dua jiwa. Dua tubuh. Dua hati. Hanya untuk kau. Berbulan-bulan melayani lagu Pelamin Anganku Musnah. Hati aku mati waktu itu.

Aku teruskan. Hidup seperti mayat. Aku takkan lupa aku masih ada akhirat.

Kota penuh kenangan. Aku kembali lagi. Mencari rezeki. Dari poket kosong tahap gigit jari. Merintih. Memohon. Bersujud meminta sedikit wang untuk isi perut. Dan masih tidak cukup. Terlalu banyak beban dan tanggungjawab. Bodoh. Salah sendiri. Akhirnya memakan diri. Masih lagi menagih simpati. Nasib ada sahabat di sisi. Mau menolong. Ikat perut tapi masih buncit. Ah. Biarkan. Perut aku.

Aku hidup dalam fantasi. Buat apa berada di realiti. Aku sakit dipijak mati perasaan sendiri. Aku bahagia dengan kesunyian ini. Tiada siapa yang peduli.

Dan kau, yang aku bahasakan awak, mohon pandang diri aku yang dulunya sungguh hina. Sungguh rabak. Pandanglah hati aku. Aku masih menyimpan rahsiamu. Fahamilah aku. Aku sedang memberi ruang untuk aku menerima kamu. Biar bukan yang pertama. In sha Allah, bidadarimu di syurga. Andai bukan jodoh. Pergilah jauh. Agar tidak terluka kita berdua.

Waktu.
Ini.
Aku.
Sedang.
Rabak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...