Kosong. Suram. Namun, ia masih lapang. Selapang dan seluas lautan. Di tepian pantai ini, aku hanya inginkan kedamaian, ketenangan. Sesak dada dengan himpitan manusia kota. Permata yang aku cari semakin tenggelam dek kaca yang bertaburan. Ia bersinar sama seperti permata. Tetapi, sinarnya hanyalah pantulan cahaya dan lampu. Aku belajar celik mata hati. Untuk menilai yang mana kaca, yang mana permata. Jarang berjaya. Jari kerap terluka dihiris kaca. Sehingga aku sudah lali dengan hirisan dan tikaman itu. Kesakitan yang sudah sebati. Parut bersilih ganti. Aku...masih di sini. Dan kekal begini. Aku tidak mahu jauh dari kaca-kaca itu. Kerana kaca itu jugalah yang menaikkan semangat aku untuk terus berjuang mencari permata yang disembunyikan.
"Jiwa kena kental. Tak kental, kau mati. Bukan mati pada jasad. Tapi, mati jiwa dan hati kau." Bisik pada diri sendiri.
Ingin tahu betapa kental jiwa dan hati seseorang itu, lihatlah pada senyumannya. Bukan pada parut luka di hatinya. (Gadis Kaca Mata - Mei 18, 2013)
No comments:
Post a Comment